MAMPUKAN 'THE STORM' ATASI FENOMENA 'SWIPE', LAGU MANA YANG BAKAL 'RIBUT'?
MASIH ingat tak lagu yang menjadi ‘viral’ di platform sosial media selepas sembilan hari dilancarkan iaitu ‘Swipe’ sehingga meraih tontonan lebih 1.8 juta?
Nyanyian penyanyi, penulis lagu, komposer dan penerbit muzik berasal Singapura, Alyph, lagu yang dilancarkan pada tahun 2022 itu turut trending di Tik Tok apabila audio asal 'Swipe' diguna lebih 263,000 video termasuk oleh artis terkenal seperti Janna Nick, Meerqeen, DeFam, Nora Danish, Puteri Sarah, Daiyan Trisha, Alvin Chong dan ramai lagi. Malah ia turut digunakan orang kenamaan khabarnya, termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Begitu dahsyat ‘Swipe’ melanda bagaikan ‘ribut’ menambat hati setiap pendengar yang tidak disangkal lagi cukup luar biasa penangannya sehingga nama Alyph atau nama sebenarnya Alif Abdullah, 35, terus meningkat naik.
'SWIPE' menampilkan jutawan kosmetik DS Vida.
Itu sejarah yang tercipta kira-kirra tiga tahun dulu, terkini, Alyph setelah hampir 7 tahun tidak mengeluarkan album, tampil membawa ‘ribut’ sekali lagi melalui album terbaharunya yang dinamakan ‘The Storm’ (Ribut).
Album ini meneroka megah diri, cinta, dan derita dalam pada bermuhasabah diri tentang masa lalu, sekarang, dan masa depan.
Artis residen cemerlang naungan Universal Music Malaysia, Singapura dan Indonesia serta Def Jam Recordings Asia Tenggara (SEA) itu asalnya menggunakan judul lain untuk albumnya. Namun, seiring transisi kreativitinya yang umpama ribut tidak diundang, dia menamakan album ini The Storm.
“Judul The Storm tercetus dalam kepala saya secara rawak pada satu hari sewaktu saya pecah otak memikirkannya. Ia hadir lebih semula jadi dan paling tepat mewakili muzik saya. Kita tidak mampu menduga ribut yang melanda membawa apa, bila akan surut, dan apa yang berlaku dalam setiap lapisan berbeza di langit.
Cuma yang kita pasti, banyak hal terpendam perlu dilepaskan,” lapor Alyph.
Beliau akui kerap berbicara dari sudut kejujuran, kerapuhan, harga diri, dan berterus-terang menerusi muziknya.
Hal itu berbeza dengan kebiasaan apabila dia bercakap secara bersemuka. Jadi, proses berkarya itu buat dia rasa sangat bebas.
“Semua lagu dihasilkan daripada kisah benar dan dicampur aduk dengan pelbagai cerita betul lain bagi mencipta pengalaman baharu yang sesuai untuk beraneka emosi. Album ini adalah sudut pandang masa lalu, sekarang, dan masa hadapan,” jelas Alyph.
Menurutnya, ia meleraikan kisah menempuh kedewasaan yang dipelajari daripada ibunya.
“Sebahagian besarnya berputar dalam aspek kemegahan diri, kasih sayang, dan penderitaan,” tambah Alyph.
Beliau menyifatkan The Storm adalah refleksi terhadap evolusi dirinya sebagai penglipur lara. Menerusi setiap projek, refleksi itu menjadi lebih jelas dan pamerkan kemajuan dirinya.
Alyph juga bukan sasar karyanya dapat menyentuh kisah hidup seseorang secara langsung tetapi dicipta dari sudut peribadi dan mampu dihayati pendengar baik secara peribadi mahupun kolektif.
Berkongsi di sebalik tabir pembikinannya, ALYPH berkata, momen paling memuaskan tatkala dapat menyiapkan tujuh lagu dalam tempoh berterusan.
Keseluruhannya, sebanyak 12 lagu dimuatkan dalam album ini termasuk Red Flags, Saham Naik, Birthday Girl, The Line, Bestfriend Part 2, Mekar, Dari Jauh, Siapa Yang Ajar?, dan Sorok Muka (feat Gard) selain Ingat, Gerak, serta Teman.
“Album ini mengetengahkan subjek yang kurang diteroka di rantau ini. Bagaimanapun, semangat untuk pecah tembok baharu menjadi tema konsisten dalam hasil kerja saya.
“Secara terperinci, Ingat dan Gerak tidak dinafikan paling mencabar untuk dilunaskan kerana perlu hidupkan kisah peribadi yang sangat mendalam. Menyanyikan karya sebegitu menuntut pertarungan emosi berbeza,” cerita Alyph.
Menghasilkan The Storm juga menjadi pemecah tembok ALYPH sebagai komposer dan diri-sendiri sebagai artis. Meletakkan fokus kemahuan diri nombor satu menjadikan hala tujunya jadi lebih nyata dalam sempurnakan hasil kerja.
“Sebelum ini, kesulitan utama saya alami adalah terlalu memikirkan keperluan artis lain apabila hasilkan lagu untuk mereka. Apabila tahu fokus diri dan pendengar, proses itu jadi lebih mudah,” katanya.
The Storm merangkumkan cetusan kreativiti ALYPH sebagai anak seni serba boleh.
Menarik sekali, untuk lagu Gerak dan Teman dia turut bekerjasama dengan penyanyi ikonik Ziana Zain yang baginya umpama mimpi jadi kenyataan kerama beliau adalah seorang penghibur lagenda yang disanjungi.
Album ini turut menampilkan GARD, seorang bakat muda yang cukup dikenali oleh peminat hip-hop tempatan yang juga sedang meningkat naik. Pendengar bakal menyaksikan gabungan dua bakat besar ini menerusi lagu Sorok Muka.
Terdahulu, menjelang pelancaran The Storm, ALYPH sempat memperdengar lagu Saham Naik di siri jelajah Uni-Verse 2024 sepanjang November lalu.
Saham Naik adalah antara lagu yang menjadi pertaruhan dimuatkan dalam The Storm.
Dia ‘belanja’ persembahan penuh lagu itu di setiap universiti dalam Malaysia yang dikunjunginya.
Antara institut berkenaan termasuklah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Universiti Utara Malaysia (UUM), dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Barangkali adakah lagi lagu seperti ‘Swipe” dalam The Storm” yang mampu mencipta satu lagi fenomena dalam industri hiburan tempatan?
Mungkin ‘Teman’ atau ‘Sorok Muka' mahu pun ‘Saham Naik... naik naik naik..." Segalanya mungkin ya tak?
#TheStorm #Swipe #Alyph #Hiburan #Music #Gerak #Teman #Album #fyp
Tiada ulasan:
Catat Ulasan