103 PELAJAR IPTA TERIMA DERMASISW YWP BERNILAI RM257,000
SERAMAI 103 pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dari Wilayah Persekutuan menerima manfaat daripada Skim Dermasiswa IPTA Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dalam satu majlis penyerahan bantuan pada hari ini, 16 Februari, bertempat di Ruang Mayor's Courtyard, Jalan Tangsi, Kuala Lumpur.
Skim ini merupakan inisiatif YWP untuk membantu pelajar cemerlang yang layak melanjutkan pengajian secara sepenuh masa di peringkat Sijil, Diploma, dan Ijazah Sarjana Muda di IPTA.
Ia bertujuan meringankan beban kewangan mereka, termasuk wang sara diri serta yuran pengajian, agar dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pencapaian akademik.
“Dengan jumlah keseluruhan bantuan bernilai RM257,000, setiap penerima menerima sumbangan secara one-off antara RM2,000 hingga RM3,000. Bantuan ini bukan sahaja mengurangkan tekanan kewangan keluarga pelajar tetapi juga menyumbang kepada pembangunan modal insan yang berkualiti dan berdaya saing,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Dr. Abdul Basir V. Kunhimohamed pada majlis penyerahan Skim Dermasiswa IPTA-YWP berkenaan.
Turut hadir menyerahkan bantuan termasuk Ahli Parlimen Wangsa Maju merngkap Ahli Lembaga Amanah YWP, Zahir Hassan; Wakil Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Nur Qistina Md Yusof; Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, Muhamad Mustafa Ghazanfar dan Rohani binti Hussin, juga selaku Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP.
Para penerima Dermasiswa IPTA YWP diseru untuk menggunakan bantuan ini sebaik-baiknya dalam menimba ilmu dan membangunkan kemahiran yang diperlukan bagi menghadapi cabaran masa depan.
“Mereka diharapkan dapat menjadi aset kepada keluarga, masyarakat, dan negara,” tambah Dr. Abdul Basir.
Sejak penubuhannya pada tahun 1986, YWP terus komited dalam menyokong inisiatif pembangunan sosial, pendidikan, dan kebajikan yang memberi impak positif kepada masyarakat.
Dalam majlis tersebut, ucapn penghargaan turut disampaikan kepada pihak yang membantu menjayakan skim ini, termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pusat Pengurusan Zakat (PPZ), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Selain penyerahan dermasiswa, YWP turut menyampaikan bantuan di bawah Skim Prihatin, iaitu bantuan khairat kematian kepada waris ahli skim tersebut.
Skim yang dilancarkan sejak 2012 ini bertujuan meringankan beban waris dalam menguruskan pengebumian jenazah atau urusan berkaitan di mana seramai 4,621 telah dibantu.
Terkini, seramai 15 waris menerima sumbangan berjumlah RM13,500 sebagai tanda sokongan dan keprihatinan terhadap keluarga yang kehilangan orang tersayang.
#SkimDernasiswaIPTAYWP #SkimPrihatinYWP #DBKL #PPZ #JPWKL #MAIWP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan