DR WAN AZIZAH SERU MASYARAKAT UTAMAKAN PENCEGAHAN KANSER, AMALKAN GAYA HIDUP SIHAT!
BERSEMPENA Hari Kanser Sedunia yang diraikan pada 4 Februari setiap tahun, penduduk di kawasan Cheras mengambil langkah proaktif dalam menjaga kesihatan mereka melalui "Program Saringan Kesihatan Kasih Madani & Sambutan Hari Kanser Sedunia' serta 'Bulan Kesedaran Kanser Kolorektal Peringkat Pejabat Kesihatan Cheras 2025."
Inisiatif penting ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan pengesanan awal kanser, penyakit yang terus menjadi cabaran kesihatan utama di Malaysia.
Program yang dianjurkan oleh Pejabat Kesihatan Cheras dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Subzon 5, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dan KOSPEN Kamara ini, telah berjaya menarik kehadiran masyarakat setempat yang prihatin terhadap kesihatan mereka.
Acara ini diadakan juga bersempena sambutan Bulan Kesedaran Kanser Kolorektal yang jatuh pada bulan Mac setiap tahun dan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Dato Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail di Kompleks Sukan Desa Tasik, pada 22 Februari 2025.
Turut hadir antaranya Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin; Peengarah Kesihatan Negeri, Dr. Nor’Aishah Abu Bakar; Ketua Polis Daerah Cheras, Aidil Bohassan dan Datin Nik Nur Hasliana Nik Hassan selaku Pengasas Hublink Premium Malaysia.
DARI kiri: Dr. Nor'Aishah, Dr. Wan Azizah dan Nik Nur Hasliana. Foto: Zaman.
"Kanser bukan sahaja memberi kesan negatif kepada pesakit, tetapi turut memberi kesan psikososial dan ekonomi kepada keluarga serta pembangunan negara," ujar Dr. Wan Azizah dalam ucapan perasmiannya,
Beliau memetik, data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengaitkan sepertiga daripada kematian akibat kanser dengan faktor gaya hidup seperti penggunaan tembakau, diet tidak sihat, dan kurang aktiviti fizikal.
Anggaran kos rawatan kanser paru-paru akibat merokok yang mencecah RM132.7 juta turut diketengahkan sebagai bukti beban kewangan yang besar.
Dr. Wan Azizah memaklumkan statistik kanser amat membimbangkan di Malaysia di mana kanser kolorektal, paru-paru, dan prostat merupakan jenis kanser yang paling kerap menyerang lelaki, manakala kanser payudara, kolorektal, dan serviks pula menjadi ancaman utama bagi wanita.
Kepentingan pengesanan awal turut ditekankan, kerana majoriti kes kanser dikesan pada peringkat lanjut, yang secara langsung mempengaruhi kadar kelangsungan hidup pesakit.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat untuk mengutamakan pencegahan kanser melalui amalan gaya hidup sihat, segera mendapatkan nasihat perubatan jika mengalami gejala, menjalani saringan kanser yang disediakan, dan mematuhi rawatan yang ditetapkan jika didiagnosis.
“Pencegahan kanser perlu menjadi agenda utama dalam kehidupan seharian,” tegas Dr. Wan Azizah.
Program seharian ini turut menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan secara percuma kepada para hadirin sekali gus pihak penganjur berharap ia dapat memberi manfaat yang besar kepada kesihatan dan kesejahteraan masyarakat Cheras.
![]() |
Foto: Raja Yusof. |
#HariKansserSedunia #BulanKesedaranKanserKolorektal #Cheras #WHO #fyp
Tiada ulasan:
Catat Ulasan