INDRIVE PERKUKUH KEHADIRAN INDUSTRI E-HAILING DI MALAYSIA
InDrive terus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform e-hailing yang semakin mendapat tempat di Malaysia, berikutan pertumbuhan pesat dalam jumlah pengguna dan pemandu di negara ini.
Dengan pendekatan yang menekankan keadilan, fleksibiliti, dan kebebasan pilihan bagi pengguna, syarikat ini kini memperluaskan jangkauan perkhidmatannya ke bandar-bandar utama termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan Johor Bahru.
Sebagai sebahagian daripada strategi pengembangannya, inDrive memberi tumpuan kepada peningkatan sokongan kepada pemandu, penambahbaikan kualiti perkhidmatan, serta penerapan teknologi yang lebih lestari bagi memenuhi permintaan pengangkutan bandar yang semakin meningkat.
Langkah ini sejajar dengan pertumbuhan industri e-hailing di Malaysia yang dijangka terus berkembang dalam beberapa tahun akan datang.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, inDrive telah mencatat pertumbuhan luar biasa di Malaysia, dengan peningkatan ketara dalam jumlah penggunaan perkhidmatan, bilangan pengguna aktif, serta jumlah pemandu berdaftar.
Sehingga Ogos 2024, syarikat ini melaporkan lonjakan 53.7% dalam penggunaan perkhidmatan, peningkatan 56.1% dalam pengguna aktif, dan kenaikan 36.1% dalam pemandu aktif berbanding tahun sebelumnya.
Pertumbuhan ini jauh lebih tinggi berbanding kadar yang dicatat pada 2022 dan 2023, mencerminkan penerimaan yang semakin positif terhadap platform e-hailing ini dalam kalangan rakyat Malaysia.
Di peringkat global, inDrive terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam industri, dengan lebih daripada lima bilion tawaran berjaya diselesaikan dan operasi yang kini merangkumi 888 bandar di 48 negara.
Pengarah Makroserantau APAC inDrive, Mark Tolley memberitahu, pertumbuhan pesat syarikat di Malaysia membuktikan keberkesanan model perniagaan yang menekankan keadilan, fleksibiliti, dan kebebasan pilihan bagi pengguna.
“Seiring dengan perubahan landskap mobiliti bandar, kami melihat peningkatan keutamaan terhadap platform yang bukan sahaja memberi manfaat kepada penumpang, tetapi juga memberdayakan pemandu. Dengan pengembangan kami di Malaysia dan rantau Asia Tenggara, kami bukan sahaja memperkukuh operasi tetapi turut menyesuaikan diri dengan trend global dalam teknologi, kelestarian, dan mobiliti berbilang perkhidmatan,” katanya dalam majlis jamuan Tahun Baru Cina inDrive di sebuah restoren di Bangsar baru-baru ini.
Turut hadir Ketua Pasukan Perekrutan dan Pengaktifan Pemandu Wilayah inDrive Malaysia, Mohamed Khalil.
Pasaran e-hailing global dijangka terus berkembang dengan stabil, didorong oleh faktor seperti urbanisasi, perubahan tingkah laku pengguna, dan kemajuan dalam teknologi mobiliti.
Asia Tenggara kekal sebagai rantau utama bagi pertumbuhan industri ini, dengan nilai pasaran ride-hailing dijangka mencecah USD 9.41 bilion (RM 41.6 bilion) menjelang 2025, dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 5.21% sehingga 2029.
Di Malaysia, pasaran ini diunjurkan mencapai USD 0.51 bilion (RM 2.2 bilion) pada 2025 dengan CAGR sebanyak 2.82% sehingga 2029, menandakan permintaan berterusan terhadap penyelesaian pengangkutan yang lebih cekap dan berpatutan.
Bagi menyokong pertumbuhan pesat ini, inDrive sedang memperkukuh kehadirannya di Malaysia dengan menubuhkan pusat sokongan pemandu mini di bandar-bandar utama seperti Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Langkah ini bertujuan menyediakan bantuan tempatan, program latihan, serta kemudahan yang lebih baik kepada pemandu.
Selain itu, inDrive juga giat bekerjasama dengan persatuan pemandu bagi memperbaiki peluang pendapatan dan memperkukuh rangkaian sokongan, dengan sasaran melebihi 40,000 pemandu berdaftar di Malaysia menjelang akhir 2025.
Seiring dengan perkembangan industri, isu kebajikan pekerja gig semakin mendapat perhatian di seluruh Asia Tenggara, termasuk Malaysia.
Perbincangan mengenai hak pemandu, pampasan yang adil, serta faedah perlindungan semakin giat dibincangkan, memaksa platform e-hailing untuk mengambil langkah lebih proaktif dalam memastikan kebajikan pemandu mereka.
inDrive turut berusaha memperluaskan perlindungan insurans serta memperkukuh kerjasama dengan persatuan pemandu dan teksi bagi menyediakan struktur sokongan yang lebih baik kepada komuniti pemandu.
Selain itu, industri e-hailing kini menuju ke arah mobiliti hijau dan kelestarian, selaras dengan usaha kerajaan serta syarikat swasta dalam menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dan inisiatif pengurangan karbon.
inDrive juga sedang meneroka kerjasama dengan pengeluar kenderaan elektrik bagi membangunkan penyelesaian pengangkutan yang lebih mesra alam, sejajar dengan usaha pengawalseliaan untuk mengurangkan pelepasan karbon.
Menurut Mohamed Khalil, syarikat ini bukan sahaja menumpukan kepada pengembangan perkhidmatan tetapi juga mahu mewujudkan ekosistem yang lebih mampan dan stabil bagi pemandu dan penumpang.
“Masa depan perkhidmatan e-hailing adalah untuk membina ekosistem yang menyokong kestabilan kewangan dan perkembangan kerjaya pemandu. Selain memperkenalkan program latihan dan bantuan kepada pemandu, kami juga sedang meneroka cara untuk membantu mereka beralih kepada penggunaan kenderaan lestari, memastikan mereka kekal sebagai sebahagian daripada evolusi industri ini,” katanya.
Menjelang 2025 dan seterusnya, inDrive kekal komited untuk memperluaskan kehadirannya di Asia Tenggara dengan mengikuti perkembangan trend mobiliti serta menyumbang kepada evolusi industri pengangkutan bandar secara global.
#inDrive #eHailing #Malaysia #PulauPinang #JohorBahru #AsiaTenggara #fyp
Tiada ulasan:
Catat Ulasan