INSAF MALAYSIA LANCAR TABUNG BERAS AMAL SEMPENA RAMADAN
DENGAN Ramadan yang semakin hampir, Pertubuhan Bantuan Teknikal Insaf Malaysia (Insaf Malaysia) mengambil inisiatif melancarkan Tabung Beras Amal “Sekampit Beras Satu Keluarga” bagi membantu golongan memerlukan menyambut bulan mulia ini dengan lebih bermakna.
Program ini diusahakan dengan kerjasama Busana Mall, IRAMA Entertainment Komuniti Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), kumpulan busker MYBC, serta artis di bawah Anggun Music Production.
Presiden dan pengasas Insaf Malaysia, Ishak Abdul Kadir, berkata, objektif utama program ini adalah untuk mengumpul dana bagi membiayai agihan sekampit beras kepada keluarga asnaf, golongan B40, rumah anak yatim, warga emas, mualaf, dan Orang Kelainan Upaya (OKU).
“Beberapa tahun sebelum pandemik Covid-19, kami berjaya mengumpul 15 tan beras. Namun, pandemik menyebabkan kami terpaksa menghentikan usaha ini. Tahun lepas, kami hanya mampu menganjurkan program ini secara kecil-kecilan, dan tahun ini barulah ia kembali diadakan secara besar-besaran,” katanya yang turut ditemani Presiden IRAMA, Ayob Abdul Majid.
Menurut Ishak, tabung sumbangan ini akan dibuka bermula hari ini sehingga bulan Syawal, bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk terus menyumbang sepanjang Ramadan.
“Hasil kutipan ini bukan sahaja akan diagihkan kepada golongan memerlukan, malah turut digunakan untuk program Foodbank dan Dapur Insaf Malaysia, termasuk penyediaan makanan berbuka puasa dan bubur lambuk,” tambahnya.
Bagi memudahkan urusan penyumbang, Insaf Malaysia turut menyediakan kemudahan sumbangan secara dalam talian melalui pindahan wang menggunakan QR Code akaun Maybank Insaf Malaysia (562188306090).
Ishak berharap program ini mendapat sokongan berterusan daripada masyarakat kerana ia bertujuan mengurangkan beban golongan kurang berkemampuan.
“Ramadan adalah bulan terbaik untuk kita memperbanyakkan amal kebaikan dan bersedekah,” katanya.
Untuk rekod, Insaf Malaysia yang beroperasi selama 16 tahun, telah membantu lebih 431 rumah kebajikan serta 1,309 murid sekolah di seluruh negara.
THROWBACK - Majlis MoU Insaf Malaysia bersama IRAMA yang berlangsung pada bulan Januari lalu.
#InsafMalaysia #Maybank #IRAMA #SekampitBerasSatuKeluarga #Foodbank #fyp
Tiada ulasan:
Catat Ulasan