KEADILAN BERJAYA PEROLEH DANA MELEBIHI SASARAN HADAPI PERSIAPAN PRU!


PARTI
Keadilan Rakyat (KEADILAN) Wilayah Persekutuan berjaya mengumpul dana mencecah RM650,000, melebihi jumlah RM500,000 yang disasarkan sebagai persiapan jentera parti menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.


“Dana yang dikumpul akan digunakan untuk melaksanakan program latihan serta kebajikan demi memperkukuhkan KEADILAN Wilayah Persekutuan, seterusnya memperkasa perjuangan parti di seluruh negara,” kata Ahli KEADILAN Cabang Bandar Tun Razak, Datuk Azman Abidin selaku Pengerusi MPN Wilayah Persekutuan merangkap Setiausaha Politik Perdana Menteri.


Menurutnya, kejayaan yang diraih memperlihatkan sokongan padu masyarakat khususnya golongan ahli perniagaan yang percaya kepada perjuangan parti dan kestabilan yang diperjuangkan Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Foto ini: Zaman


Beliau ditemui pada majlis Makan Malam KEADILAN yang berlangsung di Wisma KTC, Kuala Lumpur baru-baru ini yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Dato Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.


Majlis makan malam  yang turut dihadiri pimpinan parti, Ketua-Ketua Cabang serta ahli-ahli KEADILAN dari seluruh Wilayah Persekutuan bukan sekadar untuk mengeratkan silaturahim sesama ahli parti, tetapi juga bertujuan memperkukuhkan kekuatan KEADILAN di peringkat akar umbi.



Mengimbau kembali perjalanan panjang KEADILAN sejak lebih dua dekad lalu, di mana parti itu pernah digelar “parti jalanan” kerana lahir daripada gerakan Reformasi, Azman berkata, ‘perjuangan yang penuh ranjau dan cabaran itu akhirnya membuahkan hasil apabila KEADILAN berjaya mengangkat Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai Perdana Menteri Malaysia’.


“Perjuangan selama lebih 20 tahun ini benar-benar menguji nilai kesetiaan, persahabatan dan pengorbanan setiap anggota. Pernah satu ketika kita hanya tinggal satu kerusi Parlimen, namun ada insan-insan setia yang terus berjuang hingga parti ini bangkit semula,” tambahnya.



Azman turut menyeru pimpinan parti yang memegang jawatan seperti menteri, timbalan menteri, ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) agar turun padang membantu menggerakkan jentera parti, terutama di negeri-negeri pembangkang, bagi merampas semula kawasan tersebut pada PRU akan datang.


“Kita harus ingat, kedudukan kita hari ini adalah hasil kekuatan parti. Jika parti lemah, kita juga akan hilang segala-galanya,” tegasnya.


Beliau juga menekankan kepentingan memanfaatkan kedudukan KEADILAN sebagai parti yang menerajui kerajaan Persekutuan dengan mengukuhkan pengaruh di peringkat akar umbi.



Sementara itu, Dr. Wan Azizah dalam ucapan perasmiannya turut memaklumkan perjuangan reformasi tidak berakhir dengan pelantikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. 


“Malah, tanggungjawab kita semakin besar dalam memastikan agenda reformasi terus direalisasikan. Kita kini berada dalam fasa baharu perjuangan—melaksanakan pembaharuan institusi, memastikan tadbir urus yang cekap dan berintegriti, serta mengangkat martabat rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” kata beliau.



Menurut Dr. Wan Azizah, KEADILAN tidak akan berganjak dari matlamat asalnya, iaitu memperjuangkan keadilan bagi seluruh rakyat, sesuai dengan semangat dan falsafah yang terkandung dalam nama parti itu sendiri. 


“Semangat kerjasama dan muhibah yang terjalin malam ini mencerminkan kesatuan kita sebagai sebuah keluarga besar KEADILAN,” akhirinya.


Majlis makan malam diserikan dengan persembahan yang dikelolakan oleh Datuk Afdlin Shauki yang memeriahkan pentas dengan persembahan nyanyian oleh Vince Chong, Santesh dan Afdlin sendiri. 


SANTESH, Afdlin dan Vince. Foto: FAS.


#KEADILAN #DrWanAzizah #AzmanAbidin #AfdlinShauki #Santesh #Vince #fyp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan