Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

KKK: AMENG SPRING KONGSI PERIT DIROTAN, GAJAH PUN BOLEH LARI!



ISU ketagihan di Malaysia terus menjadi cabaran besar, namun langkah bersepadu semakin giat dilaksanakan bagi memastikan pendekatan yang lebih berkesan dan berperikemanusiaan. 


'Konvensyen Kepulihan Kebangsaan 2025: Komitmen Terhadap Reformasi Dasar Dadah Malaysia' yang berlangsung di International Youth Centre, Cheras pada 19 Februari 2025, menandakan satu pencapaian penting apabila beberapa resolusi utama dipersetujui bagi memperkukuh sistem rawatan dan pemulihan di negara ini.


Konvensyen yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni, menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk wakil kerajaan, organisasi bukan kerajaan (NGO), pakar pemulihan serta masyarakat awam. 


Turut hadir, antaranya, Presiden Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC). Ahmad Lutfi Abdul LatiffPengarah Program Dasar Dadah, Palani Narayanan, penyanyi Ameng Spring dan ramai lagi. 

FOTO: Raja Yusof.


Konvensyen berfungsi sebagai platform utama untuk membincangkan strategi pemulihan yang lebih komprehensif dan berkesan dalam menangani penyalahgunaan dadah.


Antara resolusi yang dicapai dalam konvensyen ini termasuk pengukuhan hubungan antara kerajaan dan NGO bagi meningkatkan perkhidmatan rawatan serta pemulihan. 


Selain itu, penekanan turut diberikan terhadap koordinasi lebih erat antara sektor kesihatan, kebajikan, penguatkuasaan undang-undang dan masyarakat sivil. 



Konvensyen juga menggariskan advokasi bagi penubuhan National Task Force (NTF) yang bertanggungjawab mengawasi strategi pelaksanaan dekriminalisasi penyalahgunaan dadah di negara ini.


Dalam ucapan penutup majls, Lukanisman menegaskan bahawa pendekatan yang lebih inklusif, berasaskan kesihatan dan kolaboratif mampu mewujudkan ekosistem pemulihan yang lebih mampan serta efektif. 


Beliau menekankan bahawa ketagihan adalah isu kesihatan dan bukan semata-mata jenayah, justeru memerlukan rawatan dan pemulihan berstruktur.


“Masalah ketagihan dadah atau substans diklasifikasikan sebagai penyakit yang memerlukan rawatan. Berdasarkan Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-5), ketagihan memerlukan rawatan yang berstruktur oleh pegawai perubatan, termasuk kombinasi rawatan farmakologi dan bukan farmakologi seperti kaunseling serta sokongan sosial,” katanya.



Beliau turut memaklumkan, meskipun pelbagai kempen dan penguatkuasaan telah dijalankan selama lebih 50 tahun, Malaysia masih belum bebas daripada masalah penyalahgunaan dadah. 


Statistik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sehingga September 2024 menunjukkan seramai 169,691 individu terlibat dalam penyalahgunaan dadah. 


Selain itu, laporan Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut mendedahkan negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis mencatat kadar penyalahgunaan dadah tertinggi berdasarkan nisbah per 100,000 penduduk. 


Dari segi jumlah keseluruhan kes, Selangor merekodkan angka tertinggi dengan 21,385 kes pada tahun 2024, diikuti oleh Johor dengan 18,703 kes.


Menurut beliau, jika situasi ini tidak ditangani dengan berkesan, jumlah penyalahgunaan dadah akan terus meningkat, sekali gus menambah beban kesihatan awam dan menimbulkan lebih banyak masalah sosial. 


Oleh itu, pendekatan kesihatan awam yang komprehensif perlu diperkukuhkan dengan memperluaskan akses kepada rawatan dan pemulihan.


KONVENSYEN turut menampilkan sesi perkongsian dari pakar jemputan, Dr. Farhana Mohd Pilus, Hafizi Harun dan Samantha Chong yang berbicara mengenai topik 'Bantu Atau Hukum?'.

Beliau turut menekankan keperluan menyediakan perkhidmatan yang lebih mesra klien, khususnya kepada golongan berisiko tinggi seperti golongan muda dan masyarakat berpendapatan rendah. 


Wanita yang terkesan dengan stigma masyarakat akibat faktor kehamilan, penjagaan anak serta tekanan sosial juga perlu diberikan perlindungan, rawatan dan sokongan yang lebih menyeluruh.



Sebagai sebahagian daripada inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pusat Sehenti “One Stop Centre for Addiction (OSCA)” telahpun dilaksanakan di beberapa klinik kesihatan terpilih bagi meningkatkan akses kepada rawatan ketagihan. 


Program Pertukaran Jarum-Syringe (NSEP) dan Terapi Metadon (MMT) juga dilaksanakan bagi mengurangkan penularan HIV serta meningkatkan tahap kesihatan awam.


Dalam ucapannya juga, Lukanisman turut memberitahu, KKM komited untuk memperkukuh kerjasama dengan agensi berkaitan dalam memastikan setiap langkah yang diambil berteraskan pendekatan kesihatan awam. 


Usaha ini seiring dengan Dasar Dadah Negara yang menekankan rawatan dan pemulihan sebagai komponen utama dalam menangani masalah ketagihan di Malaysia.


Beliau berharap konvensyen ini akan menghasilkan resolusi yang dapat diangkat ke peringkat lebih tinggi demi memastikan keberkesanan pemulihan ketagihan di negara ini. 



Terdahulu, penyanyi Ameng Spring yang pernah dipenjara 8 tahun dengan 10 sebatan turut berkongsi pengalaman hitamnya betapa timbulnya penyesalan sebaik sahaja melangkah ke besi pagar penjara.


“Saat dijatuhkan hukuman penjara pada tahun 2011, saya rasa hidup sudah berakhir. Tetapi sebaik sahaja melangkah masuk dalam penjara timbul rasa amat kesal sekali kenapa saya boleh terlibat dengan dadah sehingga tak ingat dah bab gian,” ujar Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminnudin Wan Ismail, 55, ketika ditemui selepas berkongsi pengalamannya kepada lebih kurang 500 khalayak yang hadir pada konvensyen berkenaan.


Tanpa berselindung Ameng memberitahu, apa sahaja jenis dadah yang ada dia telah mencubanya.


Mengimbau kembali hukuman disebat dengan rotan diperbuat daripada buluh, Ameng berkata, ’sekali sebatan pun dah cukup terasa peritnya yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. Ibarat kalau gajah kena pun akan lari.” 



Sambil berpesan kepada khalayak yang hadir agar jangan sesekali mencuba atau terlibat dengan penagihan dadah, Ameng berharap mereka yang pernah mengalami pengalaman sepertinya agar insaf dan bertaubat tidak mengulanginya lagi waima ia hanya menghancurkan kehidupan diri dan keluarga.


Perkongsian Ameng mendapat tepukan semangat daripada hadhirin lebih-lebih lagi apabila beliau membelanjakan dua lagu popularnya ‘Bourgennvilla’ dan ‘Sampai Hati”.



Pendek kata, selama sejam Ameng berbicara tentang pengalaman dan hukuman penjara yang dihadapi, dilihat mampu mencuri pendengaran peserta-peserta konvensyen yang hadir memenuhi dewan di Pusat Belia Antarabangsa Cheras.


Untuk rekod, Ameng dijatuhi hukuman penjara 8 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada 12 April 2011 atas tiga kesalahan termasuk dua kes memiliki dadah.


Ameng yang dihukum penjara di Kluang, Johor bagaimana pun dibebaskan selepas enam tahun menjalani hukuman penjara kerana berkelakuan baik pada Jun 2016.



#Dadah #AmengSpring #KonvensyenKepulihanKebangsaan #DasarDadahMalaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan