PANASONIC-ERTH, LANCAR KEMPEN KITAR SEMULA, TAWAR E-BAUCER RM50
PANASONIC Malaysia melancarkan kempen kitar semula e-Waste sebagai usaha menangani peningkatan sisa elektronik di negara ini.
Dengan kerjasama ERTH, organisasi kitar semula e-Waste terkemuka di Malaysia, inisiatif ini bertujuan menggalakkan masyarakat mengitar semula peranti elektronik lama secara bertanggungjawab.
Sejajar dengan visi korporat Create Today. Enrich Tomorrow. serta matlamat Panasonic Green Impact (PGI), kempen ini menekankan komitmen syarikat terhadap kesejahteraan masyarakat, pertumbuhan ekonomi, dan amalan penggunaan serta pengeluaran yang mampan dalam industri elektrik.
Kempen yang akan berlangsung sehingga 30 Jun 2025 di Lembah Klang menawarkan e-baucar Kelab Panasonic bernilai RM50 kepada peserta yang menyumbangkan sekurang-kurangnya tiga barangan elektronik untuk dikitar semula.
E-baucar boleh ditebus dengan pembelian minimum RM150 dalam satu transaksi melalui Kelab Panasonic di https://store.apac.panasonic.com/my. Tertakluk kepada terma dan syarat.
Menurut laporan, Malaysia menghasilkan lebih 364 kiloton sisa elektronik setiap tahun, dan jumlah ini dijangka meningkat kepada 24.5 juta unit menjelang 2025—bersamaan dengan jisim 82 Menara Berkembar.
Kadar peningkatan yang pesat ini menjadikan e-Waste sebagai satu cabaran besar kepada negara, terutamanya dengan kesan pencemaran yang timbul akibat pembuangan sisa elektronik secara tidak bertanggungjawab.
Majlis pelancaran kempen disempurnakan oleh Eksekutif Jualan Kanan, Bahagian Jualan Produk Pengguna, Panasonic Malaysia, Nic Loh bersama Pengurus Besar Perancangan Strategik, Panasonic Malaysia, Daisuke Motoki dan wakil ERTH,
Mohamed Tarek El-Fa, berlangsung di kedai pameran Panasonic di The Vertical, Bangsar South Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pengarah Urusan Panasonic Malaysia, Keisuke Nishida, menegaskan bahawa inisiatif ini bertujuan menangani isu e-Waste yang semakin kritikal di Malaysia.
“Sebagai sebuah syarikat yang komited untuk memperkayakan kehidupan dan kesejahteraan masyarakat, visi korporat kami mengiktiraf keperluan mendesak untuk menangani e-Waste bagi menjamin masa depan yang mampan. Dengan mengamalkan amalan kitar semula yang bertanggungjawab, individu dan perniagaan boleh memainkan peranan penting dalam mengurangkan kesan alam sekitar serta menyokong ekonomi kitaran,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa pembuangan e-Waste yang tidak terkawal boleh mencetuskan masalah pencemaran serius, kerana bahan berbahaya seperti plumbum, merkuri, dan kadmium boleh meresap ke dalam tanah, air, dan udara.
Pencemaran ini bukan sahaja menjejaskan ekosistem tetapi juga memberi risiko kesihatan kepada manusia dan hidupan liar.
Melalui kerjasama dengan ERTH, Panasonic Malaysia berharap dapat meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kitar semula e-Waste di kalangan masyarakat.
“Kami mahu mewujudkan kesedaran dan memberi inspirasi kepada tindakan yang boleh membawa kesan positif jangka panjang kepada komuniti dan alam sekitar. Kempen ini bertujuan mengubah minda masyarakat daripada mengabaikan kitar semula kepada menjadi lebih aktif dalam usaha mengurangkan jejak alam sekitar,” tambah Nishida.
Maklumat lanjut mengenai kempen ini, termasuk senarai barangan e-Waste yang layak, boleh didapati di laman rasmi Panasonic Malaysia di https://www.panasonic.com/my/events-and-promotions/promotions/panasonic-e-waste-campaign.html. atau nak lebih mudah klik DI SINI.
#ERTH #PanasonicMalaysia #EWaste #KelabPanasonic #EVoucher #EWaste #fyp
Tiada ulasan:
Catat Ulasan