PROGRAM DLE PERKASA KEPIMPINAN DIGITAL MALAYSIA!
PROGRAM Digital Leadership Excellence (DLE) Programme: Navigating the Tech Frontier, hasil kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia), telah berjaya menamatkan babak pertamanya dengan majlis graduasi yang dihadiri Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Seramai 50 pemimpin terkemuka daripada sektor kerajaan, industri, dan akademia diraikan dalam majlis tersebut, yang berlangsung di Hilton Kuala Lumpur pada pagi ini, 17 Februari 2025.
Turut hadir Timbalan Pengarah Urusan MCMC, Datuk Zurkarnain Mohd Yasin dan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Simon Sun.
Dalam ucapannya, Fahmi menekankan kepentingan inisiatif seperti DLE dalam memperkukuh daya saing global Malaysia serta menyokong pertumbuhan ASEAN yang lebih inklusif dan mampan.
“Melalui program seperti DLE, kita bukan sahaja memacu transformasi digital dalam sektor awam dan swasta, tetapi juga memastikan Malaysia terus berada di barisan hadapan dalam pembangunan teknologi serantau,” kata Fahmi.
Beliau turut memuji usaha MCMC dan Huawei Malaysia dalam menganjurkan program ini, yang disifatkan sebagai platform penting dalam memperkasa pemimpin dengan kemahiran serta pengetahuan digital bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam dan memperkukuh industri tempatan.
Dilancarkan pada Mac 2024, program DLE merupakan tindak balas kepada seruan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, semasa Sidang Kemuncak ICT Malaysia 2023 anjuran Huawei Malaysia, bagi merapatkan jurang antara kepimpinan dan teknologi.
Program ini menyasarkan untuk melahirkan 300 pemimpin digital menjelang 2026, dengan babak kedua dijangka melibatkan 100 peserta dan babak ketiga serta terakhir menyasarkan 150 peserta.
Sementara itu Simon Sun, dalam ucapannya menyatakan komitmen Huawei terhadap pembangunan bakat digital di Malaysia.
Beliau menyifatkan peserta DLE sebagai pemimpin yang berpotensi untuk mencorakkan masa depan digital negara.
Sun juga menegaskan bahawa projek capstone yang dihasilkan oleh peserta program ini memberikan inspirasi dan menjadi pemangkin kepada pembangunan teknologi syarikat itu.
“Kami berbangga dapat menjadi rakan kepada semua pemimpin digital yang hadir hari ini. Projek capstone yang anda hasilkan amat menginspirasi dan menjadi pemangkin kepada pembangunan teknologi kami. Kami berharap dapat terus bekerjasama dalam mempercepat transformasi digital serta kecerdasan buatan,” katanya.
Program DLE merupakan inisiatif latihan hibrid selama lapan bulan yang merangkumi pelbagai bidang teknologi utama seperti 5G, Kecerdasan Buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT), Pengkomputeran Awan, Data Raya, Teknologi Hijau, dan Keselamatan Siber.
Salah satu keunikan program ini adalah lawatan industri ke China, di mana peserta diberi peluang untuk berinteraksi dengan syarikat teknologi global dan memahami perkembangan teknologi terkini.
Dalam lawatan industri bagi kumpulan pertama ini, peserta mengunjungi Da-Jiang Innovations (DJI) dan BYD Company Limited, serta pusat penyelidikan Huawei di Dongguan yang berkeluasan 1.4 kilometer persegi.
Sepanjang lawatan itu, mereka terlibat dalam sesi pembelajaran bersama pakar industri serta menjalankan projek berkumpulan bagi menghasilkan projek capstone yang bertujuan menangani cabaran digital di Malaysia.
Majlis graduasi ini turut menyaksikan pembentangan Laporan Capstone, yang merangkumi hasil pembelajaran dan idea inovatif daripada para peserta.
Program DLE bukan sekadar satu latihan digital, tetapi juga sebuah platform yang memupuk kepimpinan, inovasi, dan pembelajaran berterusan.
Dengan inisiatif seperti ini, Malaysia dijangka semakin bersedia untuk menerajui transformasi digital serantau dan membina masa depan yang lebih mampan serta berdaya saing dalam era teknologi.
#HuaweiMalaysia #DigitalLeadershipExcellence #China #LaporanCapstone #fyp
Tiada ulasan:
Catat Ulasan