PROGRAM IHSAN MADANI SANTUNI PELBAGAI INISIATIF KEBAJIKAN!
PROGRAM Majlis Ihsan Madani menyaksikan pelbagai inisiatif kebajikan dilaksanakan bagi membantu masyarakat setempat di Parlimen Bandar Tun Razak.
Program merangkumi Projek Baik Pulih Rumah Asnaf, Skim Bantuan Awal IPT, Bantuan Khas, serta pengagihan Bakul Makanan, selari dengan usaha memperkukuh kesejahteraan rakyat di bawah dasar Malaysia Madani.
Majlis penuh bermakna ini diadakan bagi memperkukuh kebajikan rakyat, selaras dengan dasar Malaysia Madani yang menekankan kesejahteraan sosial dan pembangunan masyarakat.
Dalam majlis yang berlangsung di perkarangan Apartmen Desa Tasik baru-baru ini, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Dato Seri Dr. Wan Azizah Ismail melahirkan penghargaan kepada pelbagai pihak yang berganding bahu menjayakan program ini, termasuk Yayasan Wilayah Persekutuan, Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan (SPWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) WP Bandar Tun Razak, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), serta individu yang memberi sumbangan secara langsung mahupun tidak langsung.
Salah satu inisiatif utama yang diraikan ialah projek baik pulih rumah asnaf yang dikendalikan oleh Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan.
![]() DR. Wan Azizah melawat dan mendengar masalah yang dihadapi Rokiah. |
DR. Wan Azizah melawat rumah Rokiah yang tinggal bersendirian. |
Usaha ini bertujuan membantu seorang penduduk tempatan, Rokiah Ismail (tudung merah) yang uzur dan hidup bersendirian. Dengan perbelanjaan mencecah RM30,000, rumah beliau telah dibaik pulih sepenuhnya, di mana penyerahan rasmi rumah tersebut disempurnakan oleh Dr. Wan Azizah.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Dr. Abdul Basir Bin V. Kunhimohamed.
Bagi menyokong pendidikan anak-anak Bandar Tun Razak, sembilan pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) menerima Skim Bantuan Awal IPT daripada Yayasan Wilayah Persekutuan, masing-masing menerima bantuan one-off sebanyak RM700 untuk meringankan persiapan awal mereka ke IPTA atau IPTS di peringkat Sijil, Diploma, atau Ijazah Sarjana Muda.
Di samping itu, tiga individu turut menerima Bantuan Perubatan Yayasan Wilayah Persekutuan, membantu mereka menampung kos rawatan, ubat-ubatan, dan perkhidmatan kesihatan yang diperlukan. Bantuan ini diberikan secara one-off mengikut keperluan pesakit.
Tidak ketinggalan, dalam usaha memastikan kebajikan masyarakat terus terbela, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) juga menyampaikan Bakul Makanan MADANI kepada 100 penduduk di Desa Tasik sebagai usaha mengurangkan beban kos sara hidup golongan memerlukan.
Program ini jelas membuktikan komitmen kerajaan untuk terus membela nasib rakyat menerusi dasar Malaysia Madani yang menekankan kesejahteraan sosial dan pembangunan masyarakat.
Diharapkan inisiatif sebegini dapat diteruskan dan diperluaskan, agar lebih ramai penduduk Bandar Tun Razak menerima manfaat serta menikmati kehidupan yang lebih harmoni dan sejahtera.
#YayasanWilayahPersekutuan #BantuanPerubatanYayasanWp #YAPEIM #fyp
Tiada ulasan:
Catat Ulasan