KEGEMILANGAN PEMENANG RATU CANTIK DI MALAYSIA HARUS TERSERLAH DI PERSADA DUNIA!
PERTANDINGAN ratu cantik bertemakan Bollywood semakin mendapat perhatian di Malaysia apabila acara Miss, Mr & Mrs HIT Malaysia 2024 serta Mr & Miss Junior HIT Malaysia 2024 berlangsung dengan penuh gemilang di Centro Grand Ballroom, Klang baru-baru ini.
Acara tersebut dirasmikan oleh Timbalan Presiden Majlis Kebudayaan dan Warisan Nusantara, Dato’ Seri Dr. Sri Sukunthan, yang menyatakan sokongan terhadap usaha penganjuran pertandingan seumpama ini dalam memperkenalkan keunikan budaya Bollywood kepada masyarakat.
Menurut beliau, pertandingan ratu cantik bukan sekadar medan untuk menonjolkan kecantikan fizikal, tetapi juga platform bagi peserta memperagakan busana warisan serta menonjolkan bakat dalam dunia peragaan.
“Majlis Kebudayaan dan Warisan Nusantara memuji usaha Pengasas Harry International Talents, Dr. Barnikumar Harry, dalam mempopularkan budaya seni warisan pemakaian tradisional Bollywood. Ia bukan sahaja memperkaya industri pemodelan tempatan, malah memberi impak besar kepada dunia peragaan Malaysia,” katanya dalam ucapan perasmian.
Dalam pertandingan ini, model muda, Priyangka Naidu Rajasekaran dinobatkan sebagai Miss HIT Malaysia 2024 selain meraih gelaran Most Popular, manakala seorang lagi model jelita bertubuh langsing, Bavani Sin Kam Wah (gambar bawah) dinobatkan sebagai Mrs HIT Malaysia 2024, serta menerima anugerah Most Popular dan Most Talented.
Lebih menarik, barisan model terpilih turut diberikan gelaran International Bollywood Icon 2024, sebagai pengiktirafan kepada mereka yang pernah bertanding di dalam dan luar negara.
Dr. Sri Sukunthan turut menekankan bahawa kejayaan peserta dalam pertandingan seperti ini seharusnya menjadi batu loncatan untuk mereka melangkah ke peringkat antarabangsa.
“Pemenang ratu cantik Malaysia harus lebih menonjol di persada dunia. Acara seperti ini bukan sahaja meningkatkan kualiti budaya tempatan, malah berpotensi menjadi daya tarikan baharu dalam industri pelancongan negara,” tambahnya.
Dengan penganjuran yang meriah serta sokongan daripada pelbagai pihak, pertandingan ratu cantik bertemakan Bollywood ini dilihat sebagai langkah positif dalam memartabatkan dunia peragaan dan budaya seni di Malaysia.
Beliau juga berkata pertandingan ratu cantik juga menjadi 'tiket' memudahkan seseorang itu terjun dalam bidang dunia hiburan untuk bergelar selebriti.
"Hal tersebut bukanlah perkara baharu apabila ramai selebriti terkenal dunia hari ini mencipta nama dalam lapangan hiburan bermula dengan menyertai pertandingan ratu cantik," tambah Dr. Sri Sukunthan.
Sementara itu, Dr. Barnikuma Harry menyatakan komitmennya dalam membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda yang berminat dalam bidang permodelan dan peragaan.
“Pertandingan ini memberi ruang kepada remaja wanita untuk menonjolkan gaya tersendiri serta mengasah kebolehan catwalk mereka di pentas profesional,” katanya.
#RatuCantik #DrSriSukunthan #Bollywood #InternationalBollywoodIcon #fyp
Tiada ulasan:
Catat Ulasan