Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

MYDIN PRIHATIN SUMBANG LEBIH RM100,000 BANTU GOLONGAN PERLU!


CAKNA dengan cabaran ekonomi yang dihadapi masyarakat, Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) mengambil inisiatif menyalurkan bantuan lebih RM100,000 menerusi program MYDIN Prihatin bagi membantu golongan kurang berkemampuan membuat persiapan Aidilfitri.


Seramai 700 kanak-kanak dari rumah kebajikan berhampiran cawangan MYDIN menerima sumbangan pakaian raya bernilai RM150 setiap seorang, meliputi baju melayu, songkok dan samping bagi kanak-kanak lelaki serta baju kurung dan tudung bagi kanak-kanak perempuan.



Selain itu, MYDIN turut bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Perak untuk menyumbangkan kotak makanan kepada 220 Orang Asli di Kampung Orang Asli Sungai Kroh, Perak pada 25 Mac 2025.


Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira (Dr) Haji Ameer Ali Mydin berkata, inisiatif ini bertujuan meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan agar dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih bermakna.


“Sudah menjadi kelaziman MYDIN untuk membantu golongan memerlukan mendapatkan kelengkapan baju raya agar mereka boleh beraya seperti orang lain,” katanya pada majlis sumbangan Mydin Prihatin yang berlangsung di Mydin USJ pada 20 Mac lalu.



Turut hadir menyempurnakannya adalah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor, Hj Azmir Kassim; Pengarah Eksekutif MYDIN, Ahimmat Mydin dan Pengarah MYDIN, Datin Wira Dr. Hajah Siti Hawa Mohd serta Ketua Penolong Pengarah Kanan merangkap Menanggung Kerja Pengarah Bahagian Komuniti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Rosnah Sardi.


Beliau turut memaklumkan bahawa harga pakaian raya yang berpatutan di MYDIN membolehkan sumbangan yang diberikan mencukupi untuk satu set lengkap pakaian. 



MYDIN juga bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor untuk menyalurkan bantuan kepada penerima yang berkelayakan.


MYDIN Prihatin merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat dalam menyokong masyarakat dengan kerjasama rakan pembekal, di mana sebahagian hasil jualan produk jenama terlibat disalurkan kepada golongan yang memerlukan.


Untuk rekod, sebagai rangkaian pemborong dan peruncitan tempatan terbesar sejak 1957, MYDIN terus komited dalam menawarkan produk berkualiti dengan harga berpatutan menerusi slogan “Mengapa Bayar Lebih? Belilah Dengan Harga Borong!”.



#MydinPrihatin #JKM #OrangAsli #MYDIN #SumbanganAidilFitri #ForYouPage



Tiada ulasan:

Catat Ulasan