ULTRAMAN THE ULTRA TOUR CIPTA SEJARAH DI MALAYSIA
PEMINAT Ultraman di seluruh Malaysia kini berpeluang merasai pengalaman luar biasa dengan pelancaran rasmi Ultraman The Ultra Tour di pusat beli-belah Sunway Pyramid.
Acara yang dinanti-nantikan ini, hasil kerjasama antara Tsuburaya Fields Entertainment International Pte. Ltd. (TFEI), One Universal Production Sdn. Bhd. (OUP), dan Sunway Malls, berjaya menghimpunkan peminat dari pelbagai generasi untuk meraikan wira ikonik ini melalui pelbagai aktiviti menarik dan pengalaman interaktif.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pengerusi FINAS, Dato' Kamil Othman, dengan kehadiran wakil dari pelbagai agensi kerajaan serta Kedutaan Jepun, yang menekankan kepentingan kolaborasi ini dalam memperkukuh hubungan budaya dan hiburan antara Malaysia dan Jepun.
Kamil menegaskan bahawa kerjasama ini bukan sahaja mengangkat warisan Ultraman di Malaysia, tetapi juga menunjukkan kepentingan kolaborasi antarabangsa dalam memperluaskan impak dan jangkauan kandungan kreatif.
“Hak intelek seperti Ultraman telah membentuk budaya pop global, dan pelancaran jelajah ini membuktikan bahawa Malaysia mampu menjadi destinasi yang menarik untuk perkongsian sebegini,” kata Kamil.
ALVIN Lee (dua dari kanan) menerima Rekod ASEAN bagi Himpunan Peminat Ultraman Terbesar di Malaysia dengan mencatatkan 270 peminat, disaksikan oleh Kamil Othman (tiga dari kiri).
Salah satu detik kemuncak majlis tersebut adalah pengiktirafan rasmi daripada ASEAN Records kepada OUP, selepas berjaya menghimpunkan 270 orang peminat Ultraman dalam pakaian bertemakan Ultraman – perhimpunan terbesar seumpamanya di Malaysia.
Acara ini turut dimeriahkan dengan kemunculan istimewa Yuki Totsuka, pelakon Jepun yang membawa watak Yuma Hize/Ultraman Arc, yang meluangkan masa bertemu peminat dalam sesi eksklusif ramah mesra.
ULTRAMAN Arc, dengan hos manusianya, Yuma Hize lakonan Yuki Totsuka.
Alvin Lee, Ketua Pegawai Eksekutif One Universal Production Sdn. Bhd. (OUP), menyatakan bahawa Ultraman telah menjadi sebahagian daripada zaman kanak-kanak kebanyakan rakyat Malaysia, dan melihat tahap kepopuleran wira ini terus berkembang merupakan sesuatu yang mengagumkan.
Beliau turut menambah bahawa membawa Ultraman The Ultra Tour ke Malaysia adalah projek yang istimewa, dan kerjasama ini merupakan satu usaha untuk mencipta kenangan yang bermakna bagi peminat pelbagai peringkat umur, sambil mengukuhkan hubungan budaya antara Malaysia dan Jepun.
Ultra Tour ini akan membawa peminat dalam perjalanan penuh aksi merentasi tujuh pusat beli-belah Sunway, menampilkan sesi ramah mesra bersama Ultra Heroes, Inflatable Playland bertemakan Ultraman, aktiviti menarik seperti demonstrasi permainan Gigabash, serta pelbagai barangan eksklusif Ultraman.
Jelajah ini akan diteruskan ke Sunway Putra Mall, Sunway Carnival Mall, Sunway 163 Mall, Sunway Velocity Mall, Sunway Big Box Retail Park, dan Sunway Kluang Mall.
Selain daripada aktiviti hiburan, acara ini turut menzahirkan semangat Ramadan dengan menyantuni golongan yang memerlukan.
Dua rumah kebajikan, Pertubuhan Kebajikan Rumah Pengasih Warga Prihatin dan Persatuan Kebajikan Pusat Jagaan Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, menerima sumbangan bagi membantu persiapan menjelang bulan suci ini.
Langkah ini mencerminkan nilai kasih sayang dan perpaduan yang dibawa oleh Ultraman, selaras dengan matlamat penganjur untuk memberi impak positif kepada masyarakat.
Ultraman The Ultra Tour menjanjikan pengembaraan yang penuh keterujaan buat peminat di seluruh Malaysia, menggabungkan nostalgia, hiburan, dan semangat kemasyarakatan dalam satu perayaan unik untuk salah satu ikon budaya pop paling digemari dari Jepun.
YUKI Totsuka, yang memainkan watak Yuma Hize dan Ultraman Arc, membuat penampilan istimewa sebagai hadiah untuk peminat Ultraman yang berdedikasi.
#UltramanTheUltraTour #SunwayPyramid #YukiTotsuka #RumahKebajikan #FINAS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan