MALAYSIA PACU POTENSI BIOMASS SAWIT KE ARAH TENAGA LESTARI GLOBAL!


PERSIDANGAN
Antarabangsa Biomass Kelapa Sawit ke-5 membuka tirainya hari ini (14 April 2025) di Berjaya Hotel Resort, Kuala Lumpur, menghimpunkan lebih 25 tokoh industri, ahli akademik, pembuat dasar dan inovator dari dalam dan luar negara bagi meneroka potensi besar biomass kelapa sawit sebagai sumber kekayaan baharu yang lestari.


Bertemakan “Creating Potential Wealth from Oil Palm Biomass”, persidangan selama dua hari yang dianjurkan oleh Akademi Pengeksport Malaysia ini mengetengahkan pendekatan segar menerusi sesi perbincangan panel, menggantikan pembentangan kertas kerja tradisional. 


Inisiatif ini bertujuan merancakkan perbincangan mendalam mengenai isu-isu kritikal berkaitan transformasi biomass kelapa sawit kepada produk bernilai tinggi.


Lebih daripada 25 penceramah dan panelis terkemuka telah dipilih secara strategik, merangkumi pemain industri, perunding, pembangun teknologi serta wakil agensi pengawal selia. 



Kehadiran peserta dari pelbagai negara, termasuk sejauh Nigeria, mencerminkan minat global terhadap potensi ekonomi dan alam sekitar yang ditawarkan oleh sumber ini.


Persidangan ini berfungsi sebagai platform global untuk perkongsian pengetahuan, rangkaian kerjasama dan pemacu strategi ekonomi kitaran dalam industri kelapa sawit. 


Antara topik utama yang dibincangkan termasuk kemajuan dalam penukaran biomass, penapisan bio (biorefining), teknologi “waste-to-wealth”, serta amalan mampan.



Dalam ucapan perasmian, Menteri Perladangan dan Komoditi,  Dato’ Seri Johari Abdul Ghani yang diwakili oleh Timbalan Menterinya, Datuk Chan Foong Hin (gambar atas, tengah), menekankan bahawa biomass kelapa sawit mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.


“Persidangan ini akan menyerlahkan laluan-laluan inovatif dalam membuka nilai sebenar biomass kelapa sawit, di samping mempromosikan kelestarian dan mencipta sumber pendapatan baharu bagi industri,” kata Johari.


Antara mereka yang hadir adalah Pengerusi Penganjur Persidangan, Prof. Datuk Dr. Ahmad Ibrahim (gambar bawah, kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Ekspot Malaysia, Prof. Dr. Abdul Kabur Ibrahim (dua dari kanan) dan Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Papua New Guinea, Noel F. Leana.



Menurut Johari, Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju global dalam sektor biomass sawit, dengan eksport melebihi 1.27 juta tan tempurung isirung sawit (PKS) dan 1.13 juta tan pelet kayu tahun lalu.


“Industri biomass bukan sekadar menjana pendapatan eksport, tetapi adalah kunci kepada masa depan yang bersih dan hijau,” katanya.


Beliau turut memuji inisiatif tempatan seperti projek dandang biomass Nestlé Malaysia di kilang Milo Chembong yang menggunakan tandan kosong dan tempurung sawit, dijangka mengurangkan 14,000 tan karbon dioksida setahun.


FOTO: Raja Yusof.


Persidangan turut memberi tumpuan kepada peluang pelaburan, strategi pengkomersialan serta kerjasama awam-swasta untuk memperkukuh pembangunan bioekonomi negara dan rantau.


Dengan gabungan pemikiran pakar dari akademik, industri dan kerajaan, persidangan ini dijangka membuka lembaran baharu dalam usaha menjadikan biomass kelapa sawit sebagai enjin pertumbuhan masa hadapan yang mampan dan menguntungkan.



#KelapaSawit #PKS #AkademiPengekspotMalaysia #BerjayaHotel #Nestle #fyp



Tiada ulasan:

Catat Ulasan