RASAI ACARA FESTIVAL SONGKRAN DI 1 UTAMA HINGGA 20 APRIL INI!
BUAT pertama kalinya dalam skala besar, kemeriahan Festival Songkran dibawa secara rasmi ke Malaysia, menampilkan keunikan budaya Thailand yang penuh warna dan tradisi.
Festival ini sedang berlangsung dari 10 hingga 20 April 2025 di Forecourt, 1 Utama Shopping Centre, dan terbuka secara percuma kepada orang ramai dari jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam setiap hari.
Anjuran Kedutaan Diraja Thailand di Malaysia bersama EQ Solutions, acara ini mengangkat perayaan Songkran—yang telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan—sebagai satu simbol perpaduan, pembaharuan dan penghargaan dalam kalendar masyarakat Thai.
Dengan membawa elemen budaya, seni dan hiburan, festival ini menjadi jambatan yang mempererat hubungan antara rakyat Malaysia dan komuniti Thai di negara ini.
Songkran, yang secara tradisional disambut sebagai Tahun Baharu Thailand setiap pertengahan April, terkenal dengan aktiviti simbahan air yang melambangkan penyucian diri dan permulaan yang baharu.
Di Malaysia, festival ini diterjemahkan dalam pelbagai bentuk acara menarik dan interaktif, yang mengekalkan semangat dan simbolik asal perayaan tersebut.
Antara tarikan utama termasuklah persembahan kebudayaan Thai, muzik tradisional dan kontemporari, upacara keagamaan, serta zon permainan air khas yang turut melibatkan trak bomba untuk menyemarakkan lagi suasana.
Upacara Ram Blessing juga diadakan bagi mendoakan kesejahteraan Duta Besar Thailand, Lada Phumas (kiri) tetamu kehormat dan para pengunjung.
Lebih 40 gerai makanan dan produk asli Thailand turut mengambil bahagian, termasuk restoran terkenal seperti PJ Kao Man Gai dan M Dining, serta vendor dari Bangkok yang menyajikan hidangan autentik Thai yang sukar didapati di luar negara.
Festival ini turut memperkenalkan bengkel kebudayaan seperti demonstrasi urutan Thai, ukiran buah tradisional dan pembuatan minyak wangi Thai, di samping persembahan istimewa oleh artis-artis dari Thailand termasuk band pop rock terkenal Yes Sirday.
Menurut Lada Phumas, festival ini bukan sahaja meraikan budaya tetapi juga membuka ruang kepada kerjasama dua hala yang lebih erat.
“Kami amat berbesar hati dapat membawa semangat dan budaya Songkran ke Malaysia, agar masyarakat di sini dapat merasai keindahan tradisi kami,” kata pada majlis pelancaran Festival Songkran tersebut.
Sementara itu, Pengarah EQ Solutions, Jo Vin Chuah, menyatakan festival ini bukan sekadar hiburan tetapi menjadi simbol penyatuan komuniti Thai dan Malaysia.
“Kami mahu setiap pengunjung merasai semangat sebenar Songkran—penuh keceriaan, pembaharuan dan kebanggaan budaya,” ujarnya.
Dengan sokongan penuh daripada pihak 1 Utama Shopping Centre, festival ini dijangka menarik ribuan pengunjung sepanjang tempoh berlangsung, sekali gus mengukuhkan lagi nilai kebudayaan serantau dan hubungan dua negara berjiran ini.
#FestivalSongkran #EQSolutions #KedutaanDiRajaThailand #1Utama #fyp
Tiada ulasan:
Catat Ulasan